Thursday 28 July 2011

PREPARATION



شهر رمضان الذى أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان
~ البقرة: 185


Marhaban ya Ramadhan.. marhaban ya Ramadhan.. marhaban ya Ramadhan..





Selamat tiba wahai penghulu segala bulan, bulan yang diturunkan didalamnya Al-Quran, bulan yang didalamnya didatangkan satu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, bulan yang padanya digandakan pahala segala amalan, pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, syaitan-syaitan diikat kejap, rahmat dan maghfirah Allah memenuhi segenap bumi, bulan yang di tunggu oleh setiap mukmin.

Alhamdulillah, Ramadhan bakal menjelma dalam beberapa hari lagi, semoga Allah memberi kepada kita untuk merasa sekali lagi nikmat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan pada kali ini. Semoga Allah menerima segala amalan kita dalam mengharungi bulan ini. Semoga kita akan mendapat natijah yang sebenar daripada bulan Ramadhan. Natijah yang Allah bagitau kita semua melalui firmanNya di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang mana maksudnya

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan keatas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan keatas generasi sebelum kamu,mudah-mudahan ( dengan puasa itu ) kamu bertakwa”

Betul, TAKWA, itulah natijah yang sebenar dari bulan Ramadhan, takwa dalam erti kata kita semakin dekat dengan Allah, taat dengan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Selama sebulan yang akan datang kita akan menghadiri satu madrasah, madrasah Ramadhan yang mana akan membentuk kita menjadi insan yang bertakwa. Satu bulan yang mana kita akan meninggalkan makan minum bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Satu bulan yang akan melatih kita untuk mengatakan TIDAK kepada sesetengah perkara yang nafsu mahukan. Melatih kita untuk meninggalkan perkataan dusta, sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya” HR Bukhari

Telah berkata Ali bin AbiThalib ra “ sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan, kebatilan dan perkara yang sia-sia”

Pelbagai anugerah dan kurnia yang Allah limpahkan kepada hamba-hambaNya pada bulan Ramadhan ini. So, it’s up to us to work for it

Yes, untuk menghadapi bulan Ramadhan ini, sesungguhnya kita memerlukan satu latihan sebelum memasukinya, latihan yang akan melatih diri kita untuk membina stamina yang cukup dalam mengharungi bulan Ramadhan.



Boleh kita analogikan pemain bola sepak, mereka akan menjalankan pelbagai latihan untuk melatih stamina mereka sebelum mengharungi permainan yang berlansung selama 90 minit, untuk membiasakan batang tubuh mereka, untuk membekalkan tenaga yang cukup dalam menghadapi tempoh permainan yang panjang, yang mana boleh menyebabkan kekalahan yang teruk jika mereka kekurangan stamina, yang boleh mendatangkan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Begitulah kita dalam menghadapi bulan Ramadhan ini, kita juga memerlukan latihan yang mencukupi sebelum memasuki bulani ni, supaya tidak tersungkur di pertengahan perjuangan melawan nafsu, supaya tidak ditewaskan oleh pasukan nafsu yang bersungguh-sungguh untuk menjaringkan gol, untuk mendapatkan kemenangan.



Sebelum memasuki bulan ini yang hanya tinggal beberapa hari lagi, ayuh, kerahkan lidah kita untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran, banyakkan berzikir, ringankanlah badan kita untuk beribadat kepada Allah, kalahkan rasa mengantuk kita untuk berqiamullail..


Ayuh rakan-rakan, sama-sama kita berjuang dalam bulan Ramadhan, bulan untuk berpesta ibadah, bulan yang akan mencorakkan hidup kita selepas ini, bulan yang akan memandu hidup kita selepas ini.
Janganlah kita menjadikan Ramadhan hanya sebagai bulan tradisi untuk kita berpuasa, jangan kita menganggap puasa ini sebagai satu adat atau tradisi ketika hadirnya Ramadhan bukannya sebagai ibadah dalam mentaati perintah Allah bukan juga bulan untuk menikmati pelbagai jenis juadah.



pengacara: chef, bulan Ramadhan dah nak tiba
Chef: ye, dalam dua tiga hari lagi
Pengacara :saya pun duk tunggu bulan puasa nie, banyak juadah baru boleh rasa
Chef : ye, kami di hotel-hotel ada menyediakan pelbagai jenis makanan yang baru
( antara bual-bicara yang aku dengar kat tv, tp ada la olahan ayat sikit he3, tapi yang intipati nya still kaitan sal makanan. Adakah ini maksud Ramadhan bagi setengah daripada masyarakat kita???)



janganlah kita hanya bersungguh-sungguh untuk berjemaah solat sunat terawih, tetapi kita tinggalkan solat fardhu yang lima. Jadikanlah bulan ini, bulan untuk mendidik kita untuk lebih taat kepada Allah, melakukan setiap suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Jadikanlah bulan ini satu permulaan untuk peningkatan ibadah kita kepada Illahi dan seterusnya berusaha untuk istiqamah di dalam bulan-bulan yang lain

Teramat bodohlah jika diri ini tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar tawaran yang Allah kurniakan kepada kita dalam bulan Ramadhan.

So sahabat sekalian, ini adalah peringatan untuk kita bersama, tetapi lebih kepada penulis sendiri la.

So sebelum Ramadhan datang, jom kita bina stamina…

No comments:

Post a Comment