Friday 19 August 2011

MEMBURU LAILATUL QADAR








Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul-Qadar
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik dari seribu bulan
Pada malam ini, turun malaikat dan jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya)
Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar
Al-Qadr :1-5

 

Hening pagi memanggil diri ini untuk mencoretkan sesuatu, sesuatu yang mungkin boleh membantu diri ni untuk muhasabah kembali, muhasabah tentang apa yang telah dilakukan sepanjang 2/3 Ramadhan yang telah berlalu. Pejam celik, dah lebih dari 19 hari kita mengharungi madrasah Ramadhan ini. Mungkin kepada yang betul-betul menghayati Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab sudah boleh melihat kesan daripada madrasah ini.

Mungkin pada hari ini, ada dari sahabat kita yang telah berjaya mengkhatamkan Al-Quran, mungkin berjaya untuk solat berjemaah setiap waktu, berjaya untuk menjaga percakapan. Tahniah kepada yang berjaya dan marilah kepada yang belum berjaya, ayuh kita berusaha untuk menatijahkan sesuatu yang baik, sesuatu yang baru daripada madrasah ini. Sungguh masih tidak terlewat untuk kita dalam madrasah ini walaupun madrasah ini sudah berada dihujung persokalahannya, sungguh rahmat dan keampunan Allah sentiasa mengiringi kita.

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya
(kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam) kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya
Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat tumpuan
~al-Muzammil: 6-8

Pusingan terakhir ramadhan bakal berlansung, tapi fenomena yang kita selalu lihat pada hari ini amat pelik, semakin dekat kita dengan Lailatul Qadar, semakin surut bilangan pelajar madrasah yang menghadirkan diri serta jiwa mereka di rumah-rumah Allah. Jemaah-jemaah masjid semakin berkurang, terawih ditinggalkan, bacaan al-Quran semakin menyusut, qiamullail semakin lalai. Manusia-manusia semakin ghairah untuk menyambut hari raya, mereka berpusu-pusu mengimarahkan pasar raya. Bak kata sorang ustaz, orang-orang kita kini bukan sibuk mengejar Lailatul Qadar, tapi sibuk dalam mengejar lailatul KAMDAR. Mereka sibuk membeli persiapan hari raya, sehingga sanggup untuk meninggalkan terawih.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah ; maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran ;dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah  dengn jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar
~ at-Taubah:111

Beruntunglah kepada mereka-mereka yang sedar dan ghairah beribadah kepada Allah dalam mencari Lailatul Qadar. Mereka-mereka yang sibuk ber-qiamullail, ber-terawih, ber-tilawah dan bermacam-macam ibadah lagi. Dalam buku ‘Apa ertinya saya menganut islam’  Fathi Yakan ada menyebut, kita mestilah muslim dalam ibadah yang mana membawa kepada natijah yang kita mestilah mengambil berat terhadap ibadah qiamullail serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Ini adalah kerana qiamullail itu adalah sumber kekuatan yang memantapkan iman.



Mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam dan diakhir malam mereka memohon ampun
(kepada Allah)
~ad-Dzariat :17-18

Marilah kita perbanyakkan amalan-amalan sunat dalam mencari Lailatul Qadar kerana Imam Al-Qaradawy menyebut – sesungguhnya yang fardhu itu membawa kita kepada martabat DEKAT kepada Allah dan sungguh yang sunat itu membawa kita kepada martabat CINTA Allah

Dalam satu hadith qudsi Rasulullah pernah mengingatkan kita “ tidaklah seorang hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih aku cintai selain daripada apa yang telah aku fardhukan keatasnya. Dan sentiasalah hambaKu mendekatiKu dengan perkara sunat hingga AKU mencintainya.

Ayuh sahabat, dalam masa yang masih diberi oleh Allah ini, kita sama-sama mempertingkatkan ibadah kita kepadaNya. Semoga  kita mendapat Husnul Khatimah dalam mengharungi ramadhan ini. Moga-moga kita beroleh takwa

No comments:

Post a Comment